Friday, 15 August 2014

Anak bergaduh? Biasalah tu…

TAPI SEBAGAI IBU BAPA KITA PERLU BIJAK UNTUK MENANGANI SITUASI TERSEBUT..

tips ni dipetik dari blog ruby speech therapy..

Antara sebab biasa apabila anak kecil bergaduh ialah:
– berebut barang
– salah seorang kuat mengusik
– salah seorang kuat cemburu


 Apabila anak-anak bergaduh, selalunya akan berlaku:

– tolak menolak / tarik menarik
– barang yang dibaling
– salah seorang berteriak kuat
– cakar @ tumbuk.


Maka di sini saya nak kongsi bagaimana nak hadapi situasi anak-anak bergaduh.
1) Anda mestilah boleh mengawal diri sendiri. Jangan sehingga anda sendiri termasuk dalam gelanggang pergaduhan. Contohnya anda pula yang mencubit anak, atau anda yang menjerit atau anda yang hempas barang. Ibu bapa adalah orang dewasa, berlagaklah seperti orang dewasa. Anda mesti ingat bahawa anak-anak ialah cermin terbaik. Mereka meniru setiap perbuatan anda. Jika anda menjerit, mungkin dia diam pada waktu itu (sebab takut dengar suara raksasa anda) tapi di kemudian hari dia akan jerit kepada adik/abangnya seperti apa yang dia dengar.

2) Latih anak untuk tolak ansur. Tolak ansur memerlukan komunikasi yang bagus. Jika abang inginkan barang dipegang adik, abang tak boleh merampas. Dia ada 3 cara untuk dapatkan barang itu:


a) dia kena minta izin “Boleh tak bagi abang pinjam mainan tu?”


b) dia kena pujuk “Boleh la….abang pinjam kejaaaap je, pastu abang pulang balik kat adik.”


c) dia kena buat tawaran “abang  ada mainan ni boleh terbang….best,adik nak yang ni tak? Kalau adik nak, bagi abang mainan adik tu dulu.”

Lihat….semuanya memerlukan kebolehan bercakap yang bagus. Saya melatih anak saya untuk bercakap sedemikian. Ia memakan masa. Dari usia 3 tahun lagi saya sudah latih. Jadi apabila masuk 4 tahun, dia sudah lancar.

Mereka masih bergaduh, tapi tahap kritikal itu dapat diatasi sebaik saja rundingan dilakukan.


3) Latih anak untuk mengikut GILIRAN. Masing-masing mesti patuh pada tempoh giliran masing-masing. Sebagai ibu bapa, anda adalah penguatkuasa undang-undang giliran. Jangan pula anda melebihkan anak yang manja. Jika habis gilirannya, dia mesti serahkan pada pihak satu lagi. Jika dia tak nak, anda sebagai penguatkuasa, mestilah ambil saja barang itu dan beri pada seorang lagi. Dia akan nangis, berguling, jerit atau apa saja. Apabila dia faham giliran, dia takkan nangis dah. Dia tahu, nanti gilirannya akan sampai lagi.


4) Seterusnya ialah ungakapan “sayang”. Saya selalu ajar anak saya untuk sebutkan dia sayang adiknya atau abangnya. Mereka bukan sentiasa bergaduh. Ada masa mereka boleh bekerjasama. Dalam situasi baik, kita tanya, “abang  sayang tak kat adik  tu?” biasanya dia akan jawab “Sayang, sebab adik  comel sangat.”
Ungkapan “Kasihan” juga penting. Jika adiknya jatuh atau cedera, maka saya akan latih abang untuk berkata, “Kesian kat adik.”
Ungkapan-ungkapan sebeginilah yang menguatkan hubungan mereka adik beradik. Si adik juga mestilah dengar apa yang disebut oleh si abang, supaya dia tahu bahawa betapa abangnya itu sayangkan dirinya.


5) Kemahiran mengawal tantrum anak-anak. Semasa aksi bergaduh, mereka mungkin ada baling barang, berguling atau menjerit. Jika mereka berdekatan, cepat-cepat leraikan mereka. Pastikan mereka dalam jarak selamat. Mereka akan menunjukkan protes dengan pelbagai cara. Anak mungkin sengaja melakukan perbuatan yang dia tahu ibunya tak suka. Jika ibu bertindak pada perbuatan protes anak anda yang sengaja tersebut, maka dia berjaya. Dia berjaya mendapat perhatian anda. Maka ibu bapa mesti bijak menilai had protes. Jika anda rasa “ini dah melampau” maka anda kena hadapi dia dan bertegas. Jika dia baling, suruh dia kutip. Jika dia sepahkan semua, suruh dia kemas balik SEMUA.


Tapi jika anda kuat sabar, anda sewajarnya biarkan saja dia protes. Buat tak tahu saja dan jangan lihat pun apa dia buat. Nanti bila dia letih, dia berhenti sendiri. Sebenarnya ini lebih berkesan kerana lain kali dia tahu dah, perbuatan tantrum hanya meletihkan dirinya sendiri.

Tiada ibu yang sempurna. Kita hanya boleh berusaha untuk menjadi ibu yang lebih baik. Anak-anak saya masih bergaduh. Tapi saya tetap teruskan usaha untuk mengurangkan kekerapan pergaduhan dan tahap kritikal pergaduhan.

Ibu dan suami saya berpesan, supaya saya lebih Islamik dalam perkhidmatan.
Ok, saya tambah satu lagi.

Sebelum tidur, selepas lampu ditutup, saya akan bercerita kepada anak. Tajuk cerita ialah “Abang  dan Adik”.Ceritanya amat mudah, tapi mereka tak pernah bosan dengar walaupun diulang berpuluh kali. Ada banyak versi. Kadang-kadang kisah semasa mereka dalam perut, kisah semasa mereka baru lahir. Tapi saya menetapkan target cerita.
Contohnya “Abang, anak soleh yang selalu rajin ikut umi abi solat. Abang sayang sangat kat adik. Kalau adik  jatuh, abang  cepat-cepat datang tolong.” “Adik, anak soleh yang selalu sayang abang. Sebab abang  sayang sangat kat adik. Adik selalu baca zikir subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar”.


Ceritanya terlalu panjang hingga kadang-kala saya sendiri tertidur.

Saya yakin ramai ibu bapa sudah sedia maklum tentang bacaan-bacaan Quran yang dibaca kepada anak semasa mereka telah separa tidur.

Jadilah ibu. Jangan jadi singa.
Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment