Wednesday 12 September 2012

helen


1.      Berapa pentingkah peranan guru pendidikan khas dalam mengubah nasib seseorang kanak-kanak OKU?

Sememangnya diakui bahawa seseorang guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan seseorang pelajar samada ia tipikal mahupun berkeperluan khas.
Bagi seorang guru pendidikan khas (Anne) yang berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan serentak seperti Helen, mereka memikul peranan untuk berusaha bersungguh-sunguh dalam membantu agar Helen yang dibimbingnya mempunyai upaya untuk keluar dari dunia yang gelap dan sepi.
Guru pendidikan khas harus bersedia dan sanggup apabila diberi sesuatu tugas untuk mendidik. Secara jelasnya, walaupun guru tersebut dihantar ke mana sahaja untuk mengajar dan siapa sahaja bakal muridnya yang datang dari pelbagai latar belakang, fizikal, emosi dan sebagainya yang berbeza, dia seharusnya berlapang dada dan meneruskan azam yang kuat untuk mendidik.
Oleh yang demikian, Anne telah membuat penilaian awal terhadap Helen yang akan dibimbingnya sebaik sahaja dia sampai ke rumah Helen. Hal ini dilakukan bagi membolehkan Anne mendapat gambaran awal mengenai Helen yang seterusnya membantu Anne dalam mengatur strategi pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan Helen.
Seorang guru seharusnya mengetahui dan menguasai kemahiran-kemahiran yang boleh digunakan untuk membantu mengubah nasib pelajar-pelajarnya. Dalam filem ini menunjukkan bahawa Anne telah mendapat kemahiran untuk mengajar daripada ilmu yang ditimbanya di Perkins Institute for the Blind dan hasil daripada pembacaan laporan kes terdahulu iaitu laporan pendidikan Laura Bridgman’s yang juga mempunyai masalah yang hampir sama seperti Helen.
Daripada hasil penilaian, guru perlu mengetahui daripada mana pembelajaran untuk seseorang pelajar itu seharusnya dimulakan. Dalam kes Helen, Anne mengetahui bahawa adalah sangat penting untuk mengajar bahasa terlebih dahulu. Hal ini terbukti apabila Anne telah mengambil tindakan dengan mengajar Helen dengan mengeja menggunakan simbol-simbol yang dibentuk dengan jari. Misalnya pada permulaan Anne telah mengajar Helen untul mengeja ‘D.O.L.L’ semasa Helen memegang anak patung. Perkara ini dilakukan supaya Helen mengetahui nama setiap benda yang disentuhnya. Anne juga ada menerangkan kepada ibu Helen bahawa Helen perlu belajar mengenai bahasa supaya dia akan memahami apa yang orang lain ingin perkatakan kerana bahasa merupakan cahaya bagi mata untuk orang yang mengalami kebutaan. Bagi tujuan mengajar bahasa, Anne akan mengeja dengan jari pada tapak tangan Helen untuk setiap perkataan benda  yang disentuh oleh Helen.
Selain itu, guru berperanan penting untuk mengubah dan memperbetul persepsi negatif yang timbul dalam diri sesetengah individu mengenai pelajar pendidikan khas. Pemikiran abang Helen yang beranggapan bahawa Helen selalu menimbulkan masalah dan tingkah laku buruk yang dimilikinya tidak boleh diubah menyebabkan dia tidak menyukai Helen. Dengan kehadiran Anne, persepsi ini berjaya dihakis dan seterusnya peluang yang lebih terbuka dan jelas untuk Helen telah diberi oleh orang-orang disekelilingnya yang membolehkan Helen diterima dan berjaya di dalam hidupnya.
Tambahan lagi, guru juga perlu memberi tahu setiap tindakan yang akan diambil untuk mendidik seorang pelajar kepada ibu bapa pelajar tersebut. Hal ini dilakukan untuk mengelakkan terjadi salah faham ibu bapa terhadap guru yang mungkin mengeluarkan kenyataan-kenyataan negatif seperti guru mendera anak mereka kerana guru harus bertindak dengan sedikit kekerasan atau ketegasan dalam mendidik.
Salah satu lagi peranan seorang guru adalah untuk membantu memodifikasi tingkah laku yang tidak diingini dalam diri setiap murid. Tugas ini memerlukan seorang guru itu berfikiran kreatif, matang, terbuka,bijak mengambil peluang, dan sabar untuk mengubah setiap tingkah laku yang mengganggu. Sebagai contoh, untuk mengubah tingkah laku buruk Helen yang suka mengambil makanan pada pinggan orang lain dengan menggunakan tangan dengan mengajarnya untuk duduk tertib di meja makan dan menggunakan sudu. Pada permulaannya adalah menjadi sangat sukar untuk mengajar dan membiasakan Helen untuk berbuat demikian kerana apabila didudukkan di kerusi meja makan, Helen bertindak untuk melarikan diri. Tindakan ini dilakukan secara berulang-ulang kali sehinggalah Helen boleh menerima pembelajaran tersebut. Hal seperti ini turut berlaku pada pembelajaran-pembelajaran yang lain sehingga memerlukan guru itu mempunyai daya usaha dan tahap kesabaran yang tinggi.
Peranan lain yang turut dimainkan oleh guru pendididkan khas adalah untuk melaporkan setiap perkembangan yang dicapai oleh pelajar kepada ibu bapanya. Perkara yang lebih menarik dan menjadikan sesuatu pembelajaran yang dilakukan menjadi lebih terkesan dalam kehidupan pelajar ialah guru perlu melibatkan ibu bapa dalam pendidikan anak. Guru harus mengajar ibu bapa bagaimana mereka dapat membantu anak mereka. Tindakan ini perlu dilakukan supaya usaha guru dalam mendidik tidak bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Jika perbezaan berlaku maka sia-sialah usaha mendidik anak mereka dilakukan kerana hal ini boleh membuatkan si anak terkeliru dan kembali kepada tingkah laku yang terbiasa dalam hidupnya.
Tidak terlupa juga bahawa guru pendidikan khas perlu memikul tanggungjawab untuk menegur dan memperbetul tindakan ibu bapa yang memberi ganjaran positif apabila anak melakukan kesalahan. Dalam filem ini ibu bapa Helen telah bertindak memberi ganjaran gula-gula apabila Helen membuat kesalahan dan mengamuk untuk menenangkan Helen buat seketika. Tindakan Anne yang bertegas mengubah tingkahlaku buruk ini akhirnya memberi kesan kepada penerimaan yang baik daripada orang-orang disekeliling Helen dan begitu juga masyarakat luar. Hasil peranan yang dimainkan oleh Anne menyebabkan lahirnya seorang yang berkeperluan khas yang kebanyakan orang menyangka situasi yang dialami oleh Helen membolehkan mereka menjadi individu maju dan dikenali.




2.      Bincangkan apakah cabaran yang dihadapi oleh Anne Sullivan untuk mendidik Helen Keller.

Ketika menggalas tanggungjawab untuk mendidik Helen banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh Anne. Namun berkat kesabaran dan kesungguhannya dalam mendidik akhirnya beliau berjaya melahirkan insan yang buta dan tuli yang dikenali oleh seantero dunia sehingga ke hari ini.
Antara cabaran yang dihadapi oleh Anne ialah cabaran untuk mengubah tingkah laku Helen yang liar. Sebagai contoh ketika ingin mengubah tingkah laku Helen yang suka mengambil makanan dalam pinggan orang lain dengan hanya menggunakan tangan kepada adab di meja makan yang sebenar, tindakan Helen mendapat tentangan daripada ibu bapa Helen. Hal ini kerana mereka berasa kasihan melihat Helen diperlakukan sebegitu dan beranggapan Helen terlalu bertegas dengan budak kecil seusia Helen yang tidak mengerti apa-apa.
Bagi memperbetulkan tingkahlaku ini, Anne juga turut dicubit, ditampar dan disimbah dengan air. Namun Anne mengambil tindakan untuk membalas semula perbuatan tersebut dengan harapan supaya Helen mengetahui bagaimana rasanya apabila diperlakukan sebegitu. Selain itu, Helen turut melakukan tindakan seperti menyucuk tangan Anne dengan menggunakan pen dan mengurung Anne didalam bilik dengan kuncinya disorokkan di dalam mulut yang kemudiannya dibuang.
Anne juga terpaksa melakukan sesuatu perkara secara berulang kali yang jelas perkara ini memerlukan tenaga yang banyak, dan kesabaran yang tinggi. Misalnya untuk mengajar Helen makan menggunakan sudu, banyak kali Helen mencampakkan sudu yang diberi kerana tidak dibiasakan makan menggunakan sudu sebelum ini menyebabkan banyak kali juga Anne terpaksa mengutip sudu tersebut dann Anne memaksa Helen untuk mengambil semula sudu yang dibuang. Semasa Helen berada di atas meja makan, Anne terpaksa memerhati setiap pergerakan Helen kerana khuatir jika tersilap pergerakan Helen akan jatuh dan dia akan dipersalahkan oleh kedua ibu bapa Helen serta dia tidak mahu Helen terjatuh kerana secara perlahan-lahan dia telah menyayangi Helen.
Daripada perkara yang dialami menunjukkan Anne dicabar berulang kali  kerana setiap tingkahlaku yang hendak diubah memerlukan Anne memikirkan sesuatu langkah yang ingin diambil agar tujuan sebanar untuk mendisiplinkan diri Helen tidak bertukar kepada perlakuan yang akan menghancurkan semangat Helen untuk terus berusaha memajukan kehidupannya. Cabaran yang dihadapi oleh Anne dalam memodifikasi tingkahlaku Helen yang bermasalah bertambah apabila tindakan Helen sering sahaja mendapat pembelaan daripada kedua ibu bapanya. Hal ini menyebabkan Tingkahlaku buruk Helen semakin menjadi-jadi dan tindakan untuk mengubahnya menjadi semakin rumit dan memerlukan usaha yang lebih. Oleh yang demikian Anne terpaksa mengambil tindakan agar dia dan Helen dibenarkan duduk berasingan di sebuah rumah agar usaha mengajar Helen menjadi lebih senang untuk dilakukan dengan syarat dikenakan iaitu ibu bapa Helen hanya boleh berjumpa dengan Helen apabila tiba masanya.
Dalam masa yang sama juga, Anne berdepan dengan kesukaran untuk membolehkan Helen patuh terhadap setiap perkara yang ingin disampaikan. Oleh yang demikian, Anne cuba untuk membantu Helen dalam memahami tentang setiap apa yang ingin diperkatakan dengan cara memberi Helen merasai sesuatu perkara itu seperti air, bunga,pen dan sebagainya dan kemudian Anne akan mengajar Helen mengeja dengan cara Anne menggunakan simbol-simbol jari pada tapak tangan Helen. Bagi tujuan mengajar Helen, Anne terpaksa berusaha dengan lebih seperti membawa Helen ke atas pokok untuk membolehkan Helen merasai dengan lebih jelas tentang pokok, telur burung dan anak burung, mengepam air dan sebagainya. Perkara ini dilakukan demi memberi input mengenai alam dan benda-benda yang terdapat disekeliling Helen.
 Seterusnya, Anne juga menghadapi cabaran untuk meyakinkan orang tua Helen bahawa dia sebenarnya mampu untuk mendidik Helen. Jelaslah bahawa sekiranya ibu bapa tidak yakin akan kebolehan seseorang guru itu untuk mendidik anak mereka dan mereka tidak mempunyai kesedaran akan kepentingan usaha mendidik yang sepatutnya diberikan kepada si anak maka segala urusan pembelajaran terhadap anak mereka tidak dapat dijalankan. Tindakan inilah yang akan menyababkan potensi anak-anak mereka yang berkeperluan khas tersekat sampai di situ sahaja.
Oleh itu, sebagai seorang guru yang bertanggungjawab untuk membawa pembelaan terhadap golongan OKU haruslah bersungguh-sungguh dan  Jelaslah bahawa sekiranya ibu bapa tidak yakin dan sedar akan kepentingan usaha mendidik yang sepatutnya diberikan kepada anak mereka maka segala urusan pembelajaran terhadap anak mereka tidak dapat dijalankan. Tindakan inilah yang akan menyababkan potensi anak-anak mereka yang berkeperluan khas tersekat sampai di situ sahaja. Oleh itu, sebagai seorang guru yang bertanggungjawab untuk membawa pembelaan terhadap golongan OKU haruslah mendalami ilmu dengan mendalam, mempunyai kemahiran,bersungguh-sungguh dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikulkan di bahu kita.

No comments:

Post a Comment