Wednesday 12 September 2012

akta PK


 Bincangkan akta-akta perundangan yang berkaitan dengan pendidikan khas/orang kurang upaya(OKU), kelemahan-kelemahannya dan strategi untuk mengatasi kelemahan tersebut.

            Di Malaysia hak orang kurang upaya bergantung kepada akta yang digubal pada tahun 2007 iaitu Akta Orang Kurang Upaya 2008. Akta ini banyak diambil pengisiannya dari undang-undang OKU Negara barat yang boleh dikatakan sempurna sehingga menjadikannya sebagai tanda aras dalam pembinaan undang-undang berkaitan OKU bagi seluruh dunia. Dalam Akta Orang Kurang Upaya ini terdapat 5 bahagian yang dibina untuk mendedahkan tentang pengenalan kepada kekurangupayaan, anggota dan fungsi Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya yang berperanan untuk menjaga kepentingan OKU, pendaftaran OKU dan pihak yang terlibat dengan OKU, penggalakan dan pembangunan kualiti hidup dan kesejahteraan OKU yang dibahagikan kepada beberapa bab dan bahagian ke 5 adalah berkaitan dengan perkara-perkara am.
Pembelaan terhadap OKU di Malaysia kebanyakannya adalah sekadar dokumen yang tertulis di atas kertas. Akta ini jika dilaksanakan akan membawa kepada hampir keseluruhan hak dan keperluan OKU dalam menjalani kehidupan yang selesa dapat dipenuhi. Malangnya seperti yang dikaatakan akta ini hanyalah tulisan-tulisan yang terdapat di dakam sebuah dokumen,ia tidak diimplimentasi dalam memenuhi keperluan OKU yang akhirnya menyebabkan hidup OKU tidak terbela dan semakin melarat bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
Akta ini dibina bagi manyatakan bahawa golongan OKU mempunyai hak dan peluang yang sama seperti orang yang tipikal serta keterbolehan untuk terlibat secara penuh dalam sesebuah masyarakat. Namun realiti yang terjadi hanyalah indah khabar dari rupa. Hak dan peluang untuk mereka seolah-olah diketepikan dengan sewenang-wenangnya seakan akta ini tidak pernah diwujudkan. Tambahan lagi, dalam bahagian 3 yang menyatakan tentang pendaftaran adalah dilakukan untuk merancang program pendidikan serta menyediakan kemudahan yang sesuai dengan ketidakupayaan yang golongan mereka alami adalah rancangan semata-mata menyebabkan usaha ke arah itu tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya. Banyak lagi program-program yang lompong, tidak strategic dan kemudahan yang disediakan pula adalah sedikit, terhad dan tidak mengikut kepada jenis ketidakupayaan yang mereka alami terutamanya bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah.
Sebagai bukti, masih ramai golongan OKU yang sepatutnya mendapat pendidikan tetapi telah ketinggalan akibat kehadiran mereka ditolak dari mengikuti pembelajaran di sekolah oleh pihak pentadbir. Mereka beranggapan mereka ini cacat, lembap dan tidak mampu untuk melakukan tugasan pembelajaran dan mereka bimbang golongan ini akan menyebabkan prestasi sekolah mereka akan menurun sehingga menjatuhkan imej sekolah dan nama pentadbirnya. Oleh itu, jelaslah hak kebolehaksesan OKU kepada pendidikan tidak berupaya untuk dipenuhi oleh pihak yang terlibat dan tiada kepentingan utama kepada pembinaan Dasar Pendidikan Wajib 2002 dan pendidikan untuk semua.
Selain itu, bahagian penyediaan kemudahan untuk golongan ini juga tidak dipenuhi. Perkara ini bertentangan dengan kenyataan kebolehaksesan kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam serta pengangkutan awam. Kenyataan bahawa setiap bangunan yang dibina mestilah mempunyai ciri mesra OKU agar golongan ini mudah mengakses kepada tempat-tempat yang ingin dijejaki dan pihak yang menyediakan harus mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan memenuhi reka bentuk untuk mudah di akses. Walubagaimanapun, masih banyak kekurangan kemudahan yang mempunyai ciri mudah diakses untuk golongan OKU yang menyebabkan mobiliti mereka terbatas sehingga menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti seperti belajar dan memasuki alam pekerjaan. Kekurangan ini akhirnya menjadi faktor kepada majikan untuk menolak dan tidak menerima OKU untuk berkerja di premis perniagaan mereka. Mereka tidak mahu mengambil risiko dengan membuat anggapan golongan ini akan menyusahkan orang lain dan menurunkan prestasi syarikat.
Di Malaysia, sehingga Oktober 2011, terdapat 331,661 OKU yang telah didaftarkan namun jumlah keseluruhan dianggarkan jumlah golongan OKU adalah seramai 4.2 juta orang. Daripada jumlah ini hanya satu peratus peluang pekerjaan disediakan untuk mereka. Jadi bagaimana jumlah yang selebihnya ingin mencari pendapatan bagi menyara diri?. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa hak dan peluang sama rata serta pengiktirafan kebolehaksesan kepada pekerjaan dalam Akta OKU 2008 didiskriminasi oleh pihak-pihak yang terlibat.
 Dalam hak OKU untuk mengakses kepada pekerjaan juga ada menyatakan  bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap OKU hendaklah melindungi hak OKU. Malangnya seperti mengharapkan pegar, pegar makan padi kerana terdapat majikan yang mengambil peluang dan mendiskriminasi hak OKU dengan pemberian gaji yang sedikit kepada mereka dengan anggapan mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana khuatir kehilangan tempat mencari sumber pendapatan. Lebih menyedihkan apabila orang yang sepatutnya bertanggungjawab membela OKU sanggup mengambil kesempatan dengan melepaskan nafsu serakah terhadap golongan ini dan si pelaku pula tidak dikenakan hukuman yang sepatutnya seolah-olah pihak yang seharusnya menyelesaikan masalah ini buta mata dan hatinya yang tidak mengetahui akan hak dan tidak berperikemanusiaan sehingga keluarga OKU pula yang diarah menarik tuduhan.
Termaktub di dalam akta OKU mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan untuk golongan ini seperti bantuan alat tiruan dan pendaftaran. Permulaannya perkhidmatan ini bertujuan untuk membantu agar mereka dapat berdikari dalam menjalani kehidupan serta melahirkan masyarakat yang produktif. Ironinya apabila ramai OKU yang tidak diterima bekerja, mereka terutamanya yang mengalami masalah penglihatan mengambil langkah untuk menjual tisu dikaki-kaki lima pula dicekup oleh polis. Jadi bagaimana lagi mereka harus berusaha untuk menyara hidup? Bolehkah masyarakat OKU yang produktif dilahirkan jika beginilah situasinya? Kejadian-kejadian ini menunjukkan bahawa kehidupan OKU tersisih dari kehidupan bermasyarakat, menerima arus pembangunan dan persamaan hak seperti yang nyata diwartakan di dalam akta yang digubal.
Dari segi pendidikan tahap awal, Dasar Orang Kurang Upaya ada menggariskan menerusi strategi melalui kesihatan dan sokongan kanak-kanak kurang upaya untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk program pencegahan, pengesanan dan intervensi awal, memantapkan mekanisma perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan OKU dan mengutamakan kepentingan terbaik untuk kanak-kanak kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU. Tetapi dalam keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia sistem pendidikan dan program intervensi yang ada masih belum mantap dan terlalu lemah menyebabkan golongan OKU tidak mendapat manfaat yang mantap.
Justeru sudah terang lagi bersuluh bahawa walaupun terdapat akta perundangan yang mantap namun jika tidak dilaksanakan dan diambil perhatian dalam perlaksanaannya maka hancur leburlah segala apa yang dirancang dan kehidupan OKU akan terus-terusan terhimpit dan tersepit.
Oleh yang demikian, pemilihan pihak-pihak yang terlibat dengan kerja-kerja untuk membela nasib OKU haruslah diberi perhatian tinggi kerana hanya mereka yang betul-betul layak, mempunyai jiwa membela, mempunyai kaitan dengan orang yang mengalami kekurangupayaan dan dapat merasai kepayahan yang harus ditanggung oleh OKU sahaja yang akan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha untuk memenuhi keperluan kehidupan OKU. Hal ini seterusnya membawa kepada pembelaan hak OKU yang sepatutnya yang akhirnya membolehkan mereka hidup dalam keadaan yang sejahtera seolah-olah tidak terasa akan kekurangan yang ditanggung.
Selain itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mempunyai kesedaran akan hak-hak yang sepatutnya dipunyai oleh OKU. Memandangkan semua manusia yang diciptakan Ilahi termasuk mereka yang berkeperluan khas dibekalkan dengan potensi diri yang pelbagai maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk merealisasikan agar OKU dapat menjalani kehidupan dengan berbekalkan potensi yang dimiliki dengan seoptimum yang boleh. Perkataan dan perbuatan diskriminasi itu harus dihapus dan dilenyapkan dalam memenuhi keperluan OKU.
Dalam masa yang terdekat dapat dilihat contoh untuk mengatasi kelemahan akta berkaitan OKU, OKU yang mempunyai kesedaran itu sendiri bangkit untuk menegakkan hak yang sepatutnya mereka miliki. Walaupun terlihat kejanggalan dalam perlaksanaan akta dari peringkat atasan, namun ketegasan dan kesungguhan golongan OKU dalam usaha menegakkan hak mereka demi mengecapi hidup yang lebih sempurna akan membuka mata semua pihak mengenai hak OKU yang harus dikembalikan dan insya Allah akan berhasil.


No comments:

Post a Comment