Wednesday 12 September 2012

FALSAFAH DAN ISU PK-isu oku dan keluarga


Bincangkan apakah isu-isu yang dihadapi oleh golongan OKU dan keluarga mereka di Malaysia?

            Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang telah saya lalui, terdapat beberapa isu berkaitan golongan OKU yang dapat diketengahkan. Antara isunya adalah golongan ini tidak mendapat hak untuk mengakses pendidikan yang sewajarnya seperti yang terdapat di dalam Akta OKU 2008. Di sekolah misalnya terdapat banyak kekurangan dari segi kemudahan yang diperlukan oleh golongan ini untuk memudahkan aktiviti dan penerimaan pembelajaran yang lebih efektif. Sebagai contoh, bagi  pelajar dari kategori bermasalah penglihatan mereka memerlukan mesin-mesin yang canggih dan berharga mahal seperti perisian JAWS dan Duxbury serta thermoform untuk membantu mereka mengakses kepada ilmu dengan lebih mudah. Namun malangnya kemudahan ini tidak dapat disediakan dalam kuantiti yang mencukupi oleh pihak kementerian kepada sesetengah sekolah. Apa yang membimbangkan ialah keadaan ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada tahap pembelajaran golongan OKU sehingga boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam pendidikan jika dibandingkan dengan pelajar lain yang tipikal. Natijahnya, terdapat guru-guru yang prihatin mengambil inisiatif sendiri untuk turun padang bagi melakukan usaha mengumpul dana dengan tujuan dapat  membeli alat yang sangat berguna untuk kepentingan pelajar mereka.
            Bagi golongan OKU bermasalah pembelajaran pula, mereka memerlukan alat bantu pengajaran yang pelbagai dan setting pembelajaran yang selesa. Perkara ini pastinya menuntut peruntukan wang dan usaha yang lebih dari pihak sekolah dan guru untuk menyediakan keperluan ini. Masalahnya, terdapat pihak atasan dalam pentadbiran sekolah yang sangat berkira untuk memberi peruntukan kepada kelas pendidikan khas. Kebanyakan peruntukan hanya diberikan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berkenaan pelajar dari aliran perdana. Kesannya, pelajar berkeperluan khas ini tidak mendapat manfaat pembelajaran yang maksima di sekolah.
            Lebih membimbangkan terdapat segelintir guru-guru pendidikan khas yang mempunyai moral yang rendah. Hal ini kerana boleh dikatakan mereka hanya mengajar dengan sambil lewa, tidak mementingkan input yang sepatutnya boleh dicapai oleh pelajar. Ada kalanya mereka diiperhatikan lebih senang untuk membuat kerja-kerja lain seperti menguruskan aktiviti ko-kurikulum dan majlis-majlis yang diadakan di sekolah. Selain itu, terdapat ramai guru yang dikehendaki mengajar pelajar berkeperluan khas ini adalah terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan khas kerana mereka hanya diserap oleh pihak pentadbiran bagi memenuhi permintaan terhadap guru pendidikan khas. Oleh sebab itu, mereka tidak dapat mengadaptasi keadaan dan menjadikan pembelajaran berkesan untuk para pelajar. Mereka tidak dapat mengawal pelajar yang seterusnya menyebabkan mereka mengambil jalan pintas dengan tidak mengajar dan menyuruh pelajar membuat perkara yang disukai. Di samping itu juga, aktiviti pembelajaran yang dilakukan selalunya dilihat adalah perkara yang sama pada setiap hari. Keadaan ini menunjukkan objektif pembelajaran tidak dilakukan dengan sempurna. Oleh itu, keadaan ini menyumbang kepada lahirnya guru 20 haribulan yang hanya menunggu masa untuk menerima kemasukan gaji.
            Dalam suasana sekolah itu sendiri terdapat pandangan-pandangan yang tidak sepatutnya berlaku terhadap mereka yang terlibat dengan dunia pendidikan khas. Guru dari aliran perdana mempunyai pandangan dan perpsektif yang negatif terhadap guru pendidikan khas. Oleh yang demikian, di sekolah guru dilihat mempunyai dua kelompok yang menyebabkan guru pendidikan khas seolah-olah disisihkan. Hal ini menunjukkan bahawa kesedaran mengenai dunia pendidikan khas masih kurang dalam diri dikalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan sistem pendidikan. Jika keadaan ini berlaku, maka masyarakat dan pelajar tipikal di sekolah itu umumnya tidak dapat dididik untuk mempunyai kesedaran yang sepatutnya mengenai guru dan pelajar pendidikan khas.
            Kesedaran mengenai pendidikan khas dan mereka yang berkeperluan khas menyebabkan timbulnya beberapa anggapan dan label negatif yang diberikan. Misalnya, guru aliran perdana mengatakan guru pendidikan khas tidak melakukan kerja, mempunyai kerja yyang senang dan sebagainya. Manakala sikap pelajar tipikal terhadap pelajar berkeperluan khas juga adalah sinis sehingga menyebabkan mereka mengasingkan diri dan mengejek pelajar berkeperluan khas dengan gelaran-gelaran yang tidak sepatutnya. Lebih mendukacitakan sikap ini dipupuk oleh ibu bapa mereka. Seandainya masyarakat dan para guru mempunyai pandangan negatif dan kesedaran yang rendah mengenai golongan OKU ini mereka dan keluarga akan terus disisihkan dan bagaimanakah nasib mereka akan terbela?
            Di Malaysia program pendidikan integrasi yang bertujuan untuk memberi peluang pelajar berkeperluan khas dan pelajar tipikal bercampur di dalam satu sekolah telah dilaksanakan. Dengan adanya inisiatif mewujudkan sekolah integrasi ini objektif untuk mengeratkan dan mendedahkan pelajar berkeperluan khas dengan kehidupan tipikal dan mendapat peluang yang sama diharap dapat dicapai. Malangnya, komunikasi antara pelajar masih kurang kerana mereka hanya berkongsi kemudahan seperti kantin, tandas dan tapak perhimpunan. Pelajar tipikal mengasingkan diri sehingga menyebabkan pelajar berkeperluan khas hanya berkomunikasi sesama mereka dan rasa tersisih. Di dalam kelas inklusif juga diperhatikan bahawa guru aliran perdana lebih memberi perhatian kepada pelajar aliran perdana dan guru ini kurang memberi kerjasama terhadap guru pendidikan khas dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat memberi manfaat yang optimum kepada pelajar khas. Fenomena ini bertepatan dengan hasil kajian yang dilakukan oleh Zarin Ismail, Safani Bari dan Soo Boon Seng pada tahun 2004 yang mendedahkan integrasi sosial di kalangan pelajar khas dan pelajar normal (tipikal) berada pada tahap yang rendah atau minima.
            Satu lagi isu yang menjadi persoalan ialah kurangnya penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak yang mempunyai keperluan khas ini. Kebanyakan ibu bapa terutamanya ibu bapa di luar Bandar menyerahkan tugas mendidik anak sepenuhnya kepada guru di sekolah. Mereka hanya menghantar dan mengambil anak dari sekolah sahaja. Apabila di rumah pula, tiada sebarang usaha dilakukan untuk membantu anak dalam pelajaran mereka. Ibu bapa mempunyai kesedaran yang rendah mengenai kepentingan mengajar anak mengenai aspek pengurusan diri dan kemahiran. Hal ini diperkatakan kerana daripada pengalaman yang pernah saya lalui terdapat ibu bapa yang hanya sekadar menulis surat kepada guru dengan menggunakan perantaraan anak mereka dengan tujuan untuk menyuruh guru memberi tumpuan seratus peratus untuk mengajar anak mereka di dalam kelas selepas anak menceritakan keterlibatan dengan program pendidikan khas seperti berkebun dan perikanan. Keadaan ini menunjukkan ibu bapa tanpa usul periksa hanya ingin menyalahkan guru dengan menyatakan guru tidak mengajar sebaliknya hanya menyuruh anak mereka membuat kerja kemahiran hidup. Tambahan lagi, apa yang lebih mengecewakan terdapat ibu bapa yang menganggap anak mereka yang berkeperluan khas  tidak layak untuk menerima pendidikan yang sempurna. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk memberi kebenaran kepada anak untuk terlibat dengan aktiviti kemahiran hidup dan aktiviti di luar sekolah serta memberi peluang kepada anak untuk mencuba sesuatu yang baru. Keadaan ini yang berterusan akan memberi impak kepada pelajar iaitu akan membantutkan perkembangan diri mereka.
            Fenomena yang tidak terlepas pandang dari pandangan mata saya ialah berlakunya penempatan pelajar yang tidak sesuai dengan tahap kecerdasan yang dimiliki. Pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan sederhana ditempatkan dengan pelajar yang mempunyai  tahap kecerdasan rendah ditempatkan di dalam satu kelas. Keadaan ini menyebabkan pembelajaran pelajar yang berkecerdasan sederhana yang sepatutnya boleh dimajukan terganggu dek kerana pelajar yang rendah tahap kecerdasannya kerana guru terpaksa mengawal dan memberi lebih tumpuan kepada mereka yang lebih berkeperluan.
            Di Malaysia program intervensi awal masih kurang dilaksanakan. Hal ini menyebabkan ramai golongan OKU yang sepatutnya boleh dibantu untuk dioptimakan tahap perkembangan mereka yang sekali gus membantu mereka menjadi lebih sempurna tidak dapat dilakukan. Selain itu, kurangnya sumber-sumber maklumat mengenai dunia pendidikan khas di Malaysia memberi bebanan fikiran kepada keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas untuk mendapatkan rujukan dan saluran yang sewajarnya.
            Dalam sistem pendidikan teknik dan vokasional yang melibatkan pelajar berkeperluan khas terdapat kekurangan yang nyata. Kekurangan jelas berlaku apabila tenaga pengajar yang digaji untuk mengajar itu sendiri tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan kemahiran tersebut apatah lagi untuk mengajarkan ilmu kepada pelajar yang menuntut guru itu sendiri harus mempunyai pengetahuan tentang sesuatu bidang. Kelemahan sistem pendidikan ini juga adalah disebabkan oleh isi kandungan kurikulum yang disusun tidak menyediakan pengetahuan kepada pelajar untuk melangkah ke alam pekerjaan. Justeru, tidak hairanlah mengapa terdapat majikan yang tidak mempunyai keyakinan untuk menggaji pelajar ini setelah mereka menamatkan pengajian. Sebagai akibatnya, mereka tidak berkerja dan hanya menganggur.
            Dalam melaksanakan pendidikan khas di sekolah, rancangan pendidikan individu menjadi satu dokumen penting untuk pendidikan seseorang pelajar berkeperluan khas. Malangnya, perkara yang sangat penting ini tidak mendapat pendedahan yang cukup dari pihak atasan. Oleh yang demikian, terdapat guru yang hanya sekadar menyediakan RPI tanpa menitikberatkan perkara-perkara yang sepatutnya terkandung di dalam sesuatu RPI. Perkara ini menyebabkan objektif pendidikan bagi seseorang pelajar tidak dapat dilaksana dan diukur secara teratur sehingga mengenepikan manfaat besar yang sepatutnya boleh dipenuhi untuk diri mereka.
            Nasib golongan OKU ini juga dilihat tidak mendapat pembelaan yang mencukupi. Misalnya, peluang pekerjaan yang terhad, hak mendapat pinjaman yang sukar dan sistem kemudahan yang masih belum sempurna untuk digunakan serta tahap perkhidmatan yang tidak mesra OKU oleh golongan ini. Pendek kata, masih banyak perkara yang membebani keperluan golongan ini.
            Daripada isu-isu yang jelas wujud ini, dapat disimpulkan bahawa perlu dan sangat penting untuk melakukan usaha bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai keperluan golongan berkeperluan khas kepada setiap lapisan masyarakat dan semua pihak yang terlibat dengan golongan ini.       Sikap mengambil berat, prihatin dan semangat untuk membela nasib golongan ini harus disemai dalam diri setiap individu. Sekiranya, sikap masyarakat berjaya dibentuk untuk mempunyai pengetahuan mengenai golongan istimewa ini pastinya nasib mereka lebih sempurna dan mendapat hak yang sama sebagaimana insan yang tipikal. Selain itu, sistem pendidikan  untuk golongan berkeperluan khas harus terus diperkemas dan dimantapkan kandungannya.

No comments:

Post a Comment